WAKTU DAN JANGKAMASA
Setiap hari kita dikurniakan dengan 86400 saat atau 1440 minit dalam 24 jam atau sehari.
Dewasa ini secara purata jangkamasa kehidupan manusia adalah sekitar 70 tahun iaitu hanyalah sekitar 25550 hari bagi setiap dari kita. 25550 bukanlah satu jumlah yang besar kalau difikirkan, itupun untung kalau kita mati pada umur 70 tahun! Kalau tak ia jauh lebih kurang dari itu. Mati semasa bayi kerana komplikasi kelahiran, mati semasa kanak-kanak kerana lemas dalam kolam, mati ketika remaja kerana kemalangan, mati ketika dewasa kerana sakit dan oleh sebab yang banyak lagi.
Dalam hal ini kalau anda berumur 10 tahun maka 3650 hari telah berlalu dan dengan purata 25550 hari jangkahayat manusia maka anda tinggal 21900 hari lagi. Andai anda berumur 30 tahun maka ditolak 10950 yang telah berlalu maka hanya tinggal 14600 hari sahaja secara puratanya untuk anda menetap di mukabumi ini. Tempat anda akan digantikan dengan manusia yang lain.
Untuk meletakkannya dalam perspektif, mengikut kiraan tahun masihi ia telah sampai ke tahun 2018 iaitu 736570 hari sedangkan secara puratanya manusia hanya singgah di dunia ini selama 25550 hari dewasa ini dan ini bukanlah satu jangka masa yang lama. Kalau dalam perpektif akhirat pula sehari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun dunia di sana nanti kita akan hidup selama-lamanya maka ini bermakna kehidupan di dunia ini tak sampai pun satu saat. Bukankah ini jelas menunjukkan yang masa itu itu amat berharga buat diri kita!
Begitupun kalau difikirkan dengan masa yang begitu singkat itu manusia sejak generasi ke generasi yang satu lagi telah mencipta pelbagai penciptaan yang membawa kepada kemajuan dan pembangunan tamadun. Sehingga kini ia terus-terusan berkembang dan ditambahbaikkan bagi tujuan memudahkan kehidupan manusia. Telefon pertama yang dicipta oleh Alexander Graham Bell pada tahun 1885 telah berubah dan menjadi begitu canggih dan tak perlukan wayar lagi. Beliau yang hidup antara tahun 1847 hingga 1922 atau lebih kurang 75 tahun atau 27735 hari sempat untuk berbakti dengan mencipta telefon untuk kegunaan manusia sejagat. Tak cukup dengan itu beliau jugalah yang merupakan salah seorang pengasas National Geographic yang sering kita tonton di kaca televisyen itu. Saya yakin sekiranya dia masih hidup maka dia takkan percaya yang telefon dewasa ini boleh melakukan pelbagai fungsi, mengambil gambar dan video, bermain game, sebagai calculator, sebagai kamus dan penterjemah, menghantar mesej dan surat serta mempunyai pelbagai aplikasi dan kegunaan lagi.
Satu masa dahulu sebelum perang dunia kedua barangan keluaran Jepun disamakan dengan barangan keluaran China yang tidak berkualiti. Kemudian barangan keluaran Sony yang diasaskan oleh Akio Morita telah bukan sahaja mengubah perspektif dunia dengan penciptaan “Walkman” tetapi juga mengubah perspektif rakyat Jepun secara keseluruhannya. Akio Morita singgah di mukabumi ini selama 78 tahun dari tahun 1921 hingga ke tahun 1999 atau sekitar 28470 hari namun demikian jenama Sony menjadi terkenal di seluruh dunia dan menjadi inspirasi hingga menyebabkan naiknya nama-nama seperti Toyota, Honda, Suzuki, Toshiba, Aiwa, Mitsubishi, Hitachi dan banyak lagi.
Fujiko F Fujio pula singgah di dunia hanya selama 62 tahun atau 22630 hari dari tahun hingga 1933-1996 namun pada tahun 70an beliau telah mencipta Doraemon. Karakter kartun yang akhirnya dikenali di seluruh dunia. Di Jepun kartun Doraemon ini sebenarnya secara tak langsung menerapkan nilai penciptaan dalam diri seorang budak yang mana ia bertujuan melatih minda seorang budak kecil untuk berfikir di luar kotak. Walaupun penciptaan dalam kartun tersebut bersifat dongengan seperti Lubang Masa, Teh Penjelajahan, Mesin Permainan yang buat kacang, Loceng Idaman, Buluh Terbang, Lampu Suluh Membesar dan sebagainya tetapi semua ini adalah sesuatu yang berada di luar tempurung pemikiran kebiasaan. Budak yang terdedah dengan Doraemon ini kemudiannya bila membesar kelak bakal menjadi pencipta yang baik. Oleh sebab itulah kita dapat lihat pebagai penciptaan teknologi yang datang dari Jepun disebabkan penerapan nilai kemahiran yang telah disampaikan sejak kecil lagi.
Malangnya di sini kanak-kanak sibuk membaca majalah Lawak Kampus, komik, novel cerita hantu, menonton rancangan lawak serta perkembangan semasa para artis, bermain games serta membuang masa dengan pengisian yang tak berfaedah, tanpa matlamat.
Anda kenal dengan Kurt Cobain? Penyanyi utama kumpulan rock alternatif bernama Nirvana. Beliau hidup hanya selama 27 tahun antara tahun 1967 hingga 1994 atau 9855 hari sahaja namun dia begitu terkenal di dunia lebih-lebih lagi di Amerika Syarikat. Kalau anda tak kenal Kurt Cobain pasti anda akan kenal dengan Bruce Lee ahli pertahanan diri Jeet Kun Do salah satu cabang Kung Fu yang begitu terkenal di negara China. Beliau hidup dari tahun 1940 hingga 1973 dan meninggal dunia pada umur 33 tahun atau 12045 hari sahaja. Bagaimana dalam jangkamasa kehidupan yang begitu singkat beliau boleh dikenali di seluruh dunia? Bagaimana pula dengan kita?
Saya boleh memberi beribu contoh tentang para pencipta dan mereka yang terkenal mati begitu muda dari seluruh dunia dari era yang berbeza namun ia tetap membawa kepada persoalan yang sama. Soalannya di sini apa pula sumbangan kita kepada manusia sejagat di mukabumi ini? Apa yang dapat kita cipta? Takkanlah kita dilahirkan hidup, bertebaran di muka bumi dan kemudiannya mati kembali ke dalam tanah tanpa diingati oleh sesiapapun. Itukah sahaja matlamat kita?
Melihat dari perspektif lain pula, kita juga tidak ditakdirkan hidup di zaman moyang kita dimana keadaan begitu susah melalui penjajah, zaman perang dunia pertama dan kedua. Nak cari makan susah, nak cari duit pun susah, terpaksa menebang hutan meneroka tanah dan bercucuk tanam demi sesuap nasi. Semua kemudahan serba tiada. Mandi di perigi dan buang air besar di tepi sungai. Tiada TV, tiada penyaman udara, tiada peti sejuk tiada telefon pintar dan sebagainya. Rumah diperbuat dari kayu dan bila malam ia diterangi dengan lampu pelita yang serba malap. Bagaimana rasanya kalau anda dilahirkan dan ditakdirkan hidup di zaman itu?
Begitu juga kemungkinan besar kita tidak hidup di zaman cicit kita nanti untuk melihat mereka membesar kerana pada masa itu kita telahpun meninggalkan dunia ini. Kita tak ditakdirkan hidup di zaman akan datang yang mana mungkin pada masa itu kereta, motosikal dan basikal boleh terbang, kenderaan menjadi lebih laju, lebih canggih dan tanpa pemandu untuk kemana-mana, teknologi komputer dan komunikasi jauh lebih canggih dan sebagainya.
Atas sebab yang tertentu kita dihidupkan di zaman ini. Zaman moden, zaman sains dan teknologi atau dalam pandangan Islam pengakhir zaman. Jadi persoalannya apakah fungsi diri kita dan apakah yang perlu kita lakukan bagi memakmurkan kehidupan sepanjang kita SINGGAH di mukabumi ini? Sebenarnya tak kesahlah walau kita dilahirkan dalam mana-mana zaman sekalipun. Yang penting kita menjadi penyumbang kepada kemakmuran bumi ini bukan hanya sebagai pemerhati, melalui kehidupan begitu sahaja malah lebih teruk lagi menjadi perosak!
Pernahkah anda menziarah kubur? Cuba lihat sekeliling. Bukankah di sana terdapat banyak kubur dengan pelbagai bentuk dan keadaan. Ada yang elok, ada yang hanya tinggal batu nesan yang senget malah ada yang bersemak samun tidak terjaga. Bukankah semua penghuni kubur itu pernah hidup, tinggal dan singgah di mukabumi ini tapi kita langsung tidak mengenali mereka. Selain nama yang terpapar di batu nesan dan tarikh mereka lahir dan meninggal dunia, tiada apa yang kita tahu mengenai kehidupan mereka. Masa mereka di dunia tiada lagi, ia telah terhenti tatkala mereka meninggal dunia. Siapakah mereka? Apakah pekerjaan mereka, apakah sumbangan mereka semasa mereka hidup dan sebagainya.
Apa yang tinggal hanyalah batu nesan. Ada yang masih dingati dan sesekali diziarahi sanak saudara namun kebanyakannya telah lama dilupai. Adakah kita juga akan menghadapi kehidupan yang sama? Lahir singgah dan berkelana di muka bumi dan kemudiannya mati tanpa berbuat apa-apa sedangkan pada masa yang sama kita boleh menjadi luar biasa? Jadi terkenal, jadi kaya raya, jadi pemimpin yang disegani, jadi pendakwah yang hebat, jadi pencipta barang yang digunapakai seluruh dunia dan sebagainya?
Semua itu tidak mustahil kerana sudah ramai manusia yang telah mencapai tahap itu. Mereka juga seperti kita, mereka juga manusia yang punya satu otak, dua tangan dan dua kaki serupa dengan kita. Bezanya ialah kita pemalas dan suka membuang detik, waktu, saat, jam dan hari begitu sahaja. Ingatlah purata 25000 hari yang kita ada terus berdetik meninggalkan kita samaada kita sedar mahupun tidak. Sehari yang berlalu mengurangkan masa kita hidup di dunia lagi sehari! Jadi apakah yang telah kita buat pada hari itu?
Nukilan,
FY Al Haj
0166667430
No comments:
Post a Comment