Nak jadi kaya dan berjaya di dunia dan di akhirat?
Betulkan dalaman dahulu, InsyaAllah luaran akan menyusul.
TIP RAHSIA MENJEMPUT REZEKI FY - KONSEP DUPLIKASI
Dalam kehidupan ini kita sering bertemu dengan orang kaya dan berjaya tak kiralah apa bangsa sekalipun. Kita nampak mereka merupakan pangarah syarikat, CEO, mereka punya perniagaan yang besar, harta yang banyak, rumah agam yang serba mewah, kereta yang canggih dan terkini dan sebagainya. Kalaupun kita tak bertemu dengan mereka secara 4 mata tetapi kita ada terbaca mengenai mereka. Banyak penulisan autibiografi tentang kejayaan mereka dipaparkan di sana sini. Kejayaan Syed Mokhtar Al Bukhari contohnya, kejayaan Tony Fernandes dengan Air Asianya, kejayaan Bill Gates, si OKU Mr Lee Thaim Wah yang belajar setakat darjah 6 dan tidak boleh bertutur bahasa Inggeris tetapi berjaya menjadi jutawan memiliki francais Speedmart 99, Datuk Seri Vida Qu Puteh atau siapapun juga sebenarnya boleh kita pelajari dari mereka.
Ceritanya di sini dalam hal ini ialah untuk kita belajar dan tiru model mereka. Tiru formula kejayaan mereka. Bagaimana sifat dan tingkahlaku mereka, apakah prinsip yang mereka pegang, apakah yang mereka lakukan saban hari, dengan siapakah mereka berkawan, bagaimanakah model perniagaan mereka dan sekiranya mereka beragama Islam apakah amalah ibadah yang mereka lakukan dan sebagainya. Semua ini perlu kita kaji dan teladani andai kita mahu menjadi orang yang berjaya sepertimana mereka.
Mungkin anda akan berkata yang contoh ikon yang FY nyatakan tadi terlalu besar dan terlalu tinggi untuk dicapai. Baiklah apa kata anda perhatikan di sekeliling anda. FY pasti ada orang yang berjaya di situ. Mereka mungkin bos anda, kawan anda, bapa saudara anda, sepupu anda atau lebih dekat lagi mereka mungkin bapa anda atau adik beradik anda! Bukankah lagi dekat lagi mudah untuk kita mendalami mereka, mengetahui dan memahami akan model kejayaan yang mereka pegang. Kalau kita bermerah mata dan beriri hati melihat kejayaan mereka maka tak ada apalah yang akan dapat kita belajar. Malah kalau kita take for granted kehadiran mereka samalah juga hasilnya. Bukanlah lebih baik kita buka mata hati dan bertanya akan apakah rahsia kejayaan mereka! FY yakin mereka akan rasa bangga dan akan membantu anda dengan menjawab semua soalan-soalan anda itu secara jujur dan ikhlas.
Sebenarnya kalau kita buat analisa secara individu, kita akan dapati yang kesemua mereka akan punya sifat, sikap dan prinsip diri yang lebih kurang sama, yang tak sama mungkin bidang perniagaan yang mereka jalankan. Mereka merupakan orang yang gigih berusaha tidak pernah kenal putus asa. Kegagalan tidak menghalang mereka malah mereka menjadikan kegagalan sebagai satu motivasi untuk meneruskan usaha. Mereka menyelesaikan masalah ramai orang dengan perniagaan yang mereka jalankan atau dalam ertikata lain mereka membawa manfaat kepada yang ramai. Mereka tidak membuang masa malah tahu membahagikan masa secara optimum, mereka bersifat terbuka, mempunyai pelbagai ilmu pentadbiran perniagaan dan sebagainya. Semua sifat positif inilah yang membawa kejayaan kepada mereka.
Bagaimana pula dengan kita? Bukankah kita tak punya kebanyakan dari prinsip yang ada pada mereka? Kita nak kaya dan berjaya tapi kita duduk tak buat apa-apa. Kita bercakap tentang impian menjadi kaya tapi kita tak berusaha ke arah itu. Kita kuat melepak dan bersantai, kita rasa cukup apa yang kita ada. Kita mudah putus asa. Kita mengalah sebelum berjuang. Kita tidak mencari ilmu. Kita beri sejuta alasan kenapa kita akan gagal dan sebagainya dan kita tak mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan. Itulah perbezaan antara orang berjaya dengan orang yang gagal. Anda ingin berjaya? Saranan FY duplikasilah orang yang berjaya, tukarkan nilai dan prinsip negatif yang ada dalam diri kita itu kepada yang positif sepertimana yang ada dalam diri orang yang berjaya.
Kalau dalam perniagaan, konsep duplikasi ini boleh kita lihat dapat diaplikasikan dalam perniagaan Francais. Bukankah perniagaan francias mengunakan konsep yang FY nyatakan ini? Secret Recipe, Starbucks, Mc Donald’s, Shell dan sebagainya semuanya menggunakan konsep francais ini. Kalau kita masuk mana-mana restoran Mc Donald’s di dunia ni kurang lebih kita ada jumpa elemen-elemen yang sama. Hidangan makanan dan minuman yang sama, persekitaran dan peraturan yang sama. Pakaian dan layanan pekerja yang sama dan sebagainya. Yang berbeza cuma lokasinya. Inilah rahsia resepi kejayaan perniagaan Francais ini.
Satu tip perniagaan. Cuba lihat di daerah tempat anda tinggal. Manakah restoran yang paling maju di kawasan anda? Kalau ada katalah sebuah restoran nasi kandar yang hanya dibuka dari pukul 11 hingga pukul 4 sahaja dan bila dibuka orang yang beratur punyalah panjang, maka FY rasa ini adalah model perniagaan yang boleh dipertimbangkan. Kita cuma perlu tiru model mereka atau minta francais dari mereka cumanya kita perlu buka di lokasi yang lain, InsyaAllah FY yakin sepertimana kejayaan sistem Francais tu, kita juga akan berjaya kalau kena gayanya, kalau betul cara pengurusan dan pentadbirannya.
Oleh yang demikian, walau kita berada dalam apa juga bidang sekalipun, maka cuba lihat siapakah yang kaya dan berjaya dalam bidang yang kita ceburi itu. Kemudian kita belajar dan kita tiru cara mereka. Sepertimana kejayaan model sistem francais yang telah FY terangkan tadi maka FY yakin duplikasi yang kita lakukan terhadap individu yang berjaya juga boleh membawa hasil yang lebih kurang sama juga.
Kalau dalam bidang yang kita cebur itu pula tak ada sesiapa yang boleh dijadikan ikon, tiada siapa yang boleh kita rujuk, mungkin tiba masanya untuk kita beralih arah dan tukar bidang kerjaya yang kita lakukan selama ini.
Sekian dulu buat kali ini.
Artikel ini dipetik dari Buku Tip Rahsia Menjemput Rezeki karya FY yang masih dalam proses penulisan.
FY
0166667430
No comments:
Post a Comment