Thursday, January 17, 2019

MOTIVASI DIRI - BAGAIMANA MENJADI ORANG LUAR BIASA

Image result for success

MOTIVASI PERCUMA - PERBEZAAN SIFAT DAN SIKAP ORANG YANG GAGAL, ORANG BIASA DAN ORANG LUAR BIASA

Kita sering membaca atau mendengar mengenai pengisian orang yang cemerlang dan berjaya ini. Kisah si miskin menjadi kaya, kisah insan cacat yang berjaya dan bermacam lagi. Kali saya ingin menghuraikannya lagi sekali cuma kali ini saya membezakannya kepada tiga kategori bagi membezakan sifat orang yang gagal, yang biasa-biasa dan yang luar biasa.

Oleh kerana sebagai manusia kehidupan ini sementara dan pendek lagipun kita hidup hanya sekali takkanlah kita hendak menjadi orang yang gagal dalam kehidupan atau sekadar menjadi biasa-biasa seperti orang kebanyakan? Bukankah lebih baik kita menjadi orang yang luar biasa! Semoga bab ini sedikit sebanyak memberikan manfaat dan kefahaman kepada anda untuk berubah menjadi seorang yang luar biasa!

Orang Gagal - Dengki Dan Iri Hati.
Mereka dengki dan iri hari bila melihat orang lain berjaya. Mereka akan bercakap di belakang atau dalam ertikata lain membawang. Mengatakan itu ini, mengutuk dan memfitnah. Masa terbuang begitu sahaja sedangkan masa gosip untuk bercerita tentang orang yang berjaya itu lebih baik digunakan bagi meningkatkan produktiviti diri sendiri.
Orang Biasa - Bersaing.
Bagi orang kebanyakan pula bila mereka melihat orang yang berjaya mereka akan memotivasikan diri dan akan cuba untuk bersaing. Ada yang menjadikannya persaingan yang sihat dan ada juga yang tidak.
Orang Luar Biasa - Bersaing Dengan Diri Sendiri.
Orang luar biasa selalunya tidak bersaing dengan orang lain sebaliknya mereka bersaing dengan diri sendiri. Mereka mencabar diri mereka sendiri untuk pergi lebih jauh. Mereka juga sering meraikan kejayaan orang lain dan tumpang bangga dengan kejayaan mereka itu.

Orang Gagal - Bersifat Negatif
Mereka menggunakan mata lalat yang fokus kepada benda-benda yang negatif. Kalau masuk dalam restoran, pandangan mereka kepada yang negatif. Mereka nampak restoran yang kotor, pelayan yang lembab dan sebagainya. Mereka akan merungut dan menunjukkan rasa tak puas hati dengan semua keadaan.
Orang Biasa - Bersifat Positif
Positif. Mereka menggunakan mata lebah yang memandang kepada yang positif dan cantik. Kalau masuk restoran mereka tak pandang kepada restoran yang kotor mahupun pelayan yang lembab tapi memandang kepada makanan yang sedap serta harganya yang berpatutan sebagai contoh.
Orang Luar Biasa - Bersifat Proaktif
Mereka ini menggunakan mata hati, melihat yang negatif untuk diambil iktibar, dari pandangan yang positif pula, mereka melihat apakah yang baik yang boleh mereka ambil iktibar dan dari pandangan proaktif pula mereka mencari jalan untuk memperbaiki keburukan mahupun kebaikan untuk menjadikan keadaan lebih baik lagi.

Image result for success

Orang Gagal - Pemalas
Golongan ini merupakan golongan yang pemalas. Kerja buat sikit rehatnya lebih. Mereka kaki tuang, kaki ponteng, bertangguh, lebih banyak bercakap dari buat kerja, suka melepak dan membuang masa. Namun demikian kalau yang bekerja mereka mahukan gaji yang besar walaupun dengan kerja yang sedikit. Kalau mereka pelajar mereka akan bermain dalam kelas dan tidak menumpukan perhatian, ponteng kelas, datang lambat, kerjarumah tidak disiapkan dan sebagainya.
Orang Biasa - Rajin
Mereka ini merupakan orang yang rajin dan boleh diharap, majikan suka orang yang begini. Mereka patuh kepada arahan dan akan menyiapkan kerja pada masanya. Lepas kerja mereka akan balik ke rumah dan besok datang lagi melakukan perkara yang sama. Kalau mereka pelajar mereka akan belajar dalam kelas, balik mereka menyiapkan kerja rumah dan pergi tuisyen kalau ada, setakat itu sahaja.
Orang Luar Biasa - Gigih
Orang luar biasa bekerja lebih lama dan dari orang biasa. Mereka bekerja tak kira waktu kerana mereka punya misi dan visi yang perlu dicapai jadi mereka memberikan komitmen yang tinggi bagi mencapai matlamat yang mereka citakan itu. Kalau mereka pelajar mereka akan fokus dalam kelas, berinteraksi dengan guru, bertanya soalan kalau mereka tak tahu jawapan, buat kerja rumah, buat latihan tambahan, buat study group, pergi perpustakaan untuk menelaah, pergi tuisyen, melayari internet untuk belajar perkara yang lebih advance dan sebagainya.

Orang Gagal - Tidak Ada Pekerjaan Tetap
Golongan ini selalunya tak punya pekerjaan tetap atau mereka sering sahaja menganggur dan bertukar-tukar pekerjaan. Kalau berniaga pun mereka hangat-hangat tahi ayam dan perniagaan mereka mengalami kerugian.
Orang Biasa - Bekerja Tetap
Golongan ini selalunya bekerja tetap. Menjalankan rutin harian bertahun-tahun lamanya walaupun acapkali ia membosankan namun mereka tak berani untuk melangkah keluar untuk memulakan cabaran bari yang lebih besar mahupun memulakan perniagaan.
Orang Luar Biasa - Berniaga
Mereka ini selalunya mempunyai perniagaan yang berjaya. Ini kerana berniaga membawa cabaran yang besar. Ia memerlukan mereka berdikari dan tidak bergantung kepada pendapatan tetap yang ditawarkan sekiranya mereka bekerja disamping itu juga mereka perlu berfikir akan bagaimana untuk memajukan perniagaan mereka serta menyelesaikan segala masalah yang ada.  

Orang Gagal - Tiada Keyakinan
Sebagai contoh kalau mereka diminta naik ke pentas mereka akan mengelak dan tak mahu berbuat demikian. Mereka malu dan takut diketawakan oleh orang lain.
Orang Biasa - Kurang Keyakinan
Kalau mereka diminta naik ke pentas, mereka reluctant dan menjadi kaku siap dengan rasa gemuruh.
Orang Luar Biasa - Sangat Berkeyakinan
Kalau mereka diminta naik ke pentas berucap, menyanyi mahupun menari mereka dengan selamba boleh berbuat demikian dengan penuh keyakinan.

Orang Gagal - Ketinggalan
Golongan ini merupakan golongan yang ketinggalan dalam arus pembangunan. Mereka begitu mudah ditipu atau diperdaya oleh orang lain.
Orang Biasa - Pengikut
Mereka ini merupakan pengikut. Mereka tak pandai memimpin tapi lebih suka dipimpin.
Orang Luar Biasa - Pemimpin
Golong ini biasanya merupakan pemimpin yang berjaya lagi adil. Mereka berjaya memimpin diri, keluarga, masyarakat, ugama, bangsa dan negara walau dimana sahaja mereka berada.

Orang Gagal - Pandangan Sempit
Pandangan mereka ini begitu sempit. Mereka hanya nampak apa yang berada di depan mata dan apa yang telah diberitahu oleh orang lain. Mereka umpama burung kakak tua yang bercakap apa yang mereka dengar. Memiliki idea dan pandangan sendiri tentang sesuatu perkara adalah sesuatu yang mustahil bagi mereka.
Orang Biasa - Pandangan Biasa, Pemerhatian Biasa
Golongan ini pula punya pandangan biasa, pandangan bersifat am iaitu pandangan orang kebanyakan.
Orang Luar Biasa - Pandangan Luas, Pemerhatian Tajam
Golongan ini pula memandangkan mereka berilmu mereka punya pandangan yang luas lagi menyeluruh mengenai sesuatu perkara itu. Pemerhatian mereka juga tajam dari atas ke bawah sehingga sehalus-halus maklumat tersurat dan tersirat. Jadi ini menjadikan pandangan mereka bernas dan di luar kotak, keputusan dan tindakan yang mereka ambil membawa hasil yang baik. Teknik penyelesaian masalah mereka juga mantap.

Orang Gagal - Bercerita Tentang Orang Lain
Berkawan dengan orang yang gagal juga. Gosip bercerita tentang perihal orang lain serta artis, mengutuk, mengumpat dan memfitnah. Membaca buku dan menonton rancangan drama, lawak dan hiburan. Mengikut nafsu.
Orang Biasa - Bercerita Tentang Hal Ehwal Semasa
Berkawan dengan orang biasa juga. Bercerita tentang politik, ekonomi atau apa sahaja hal ehwal semasa yang mengambil tempat pada masa itu. Suka menonton berita dan cerita semasa.
Orang Luar Biasa - Bercerita Tentang Idea
Berkawan dengan orang yang berjaya dan luar biasa juga. Mereka bercerita tentang idea perniagaan, projek baru, perkara yang berfaedah dengan bertukar-tukar pandangan yang bernas. Membaca dan menonton rancangan yang ada ilmu di dalamnya.

Image result for success

Orang Gagal – Menyusahkan
Salah satu sifat utama orang yang gagal ialah mereka sering sahaja menyusahkan. Mereka sering mencari masalah dan orang lain pula perlu membantu mereka menutup masalah yang mereka buka. Mereka selalu berhutang tapi tak melunaskannya. Kalau mereka nampak orang yang dalam kesusahan mereka mengelakkan dari membantu. Kalau boleh mereka menjauhkan diri.
Orang Biasa - Tidak Menyusahkan Dan Tidak Menyenangkan
Golongan menjalani kehidupan seharian seperti biasa sahaja. Mereka jaga diri dan keluarga mereka dan kalau boleh tak perlu berfikir tentang masalah orang lain apatah lagi membantu menyelesaikannya. Kalau mereka nampak orang yang dalam kesusahan mereka hanya berdiam diri.
Orang Luar Biasa - Menyenangkan
Mereka yang dalam kategori ini pula suka membantu, menyumbang atau punya sifat menyenangkan. Saban hari mereka sentiada mencari raung adan peluang untuk membantu dan menyumbang. Kalau mereka nampak orang yang dalam kesusahan merekalah orang yang pertama akan mengambil inisiatif untuk membantu.

Orang Gagal - Malas Menimba Ilmu
Golongan ini merupakan golongan yang malas menimba ilmu. Kalau di sekolah mereka malas belajar, tidak fokus tapi lebih banyak bermain dan membuang masa dan akhirnya menduduki tempat tercorot dalam kelas mahupun dalam tingkatan. Menjelang dewasa hujah mereka lemah tapi tetap mahu menang dan menegakkan benang yang basah. Mereka umpama gelas yang bocor, masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
Orang Biasa - Merasakan Ilmu Yang Ada Sudah Memadai
Orang biasa-biasa pula merasakan ilmu yang ada sudah memadai. Mereka umpama gelas yang sudah penuh lantas sudah tak boleh diisi lagi. Ini menjadikan ilmu mereka terhad dan pabila berhujah, hujah mereka berulang-ulang dari sudut pandang yang sama.
Orang Luar Biasa - Sentiasa Terbuka Untuk Mencari Ilmu Baru
Orang dalam kategori ini pula berbeza. Mereka umpama perigi yang tak pernah penuh walau banyak mana diisi. Saban hari mereka sentiasa mencari input dan ilmu baru. Bila berhujah pandangan mereka bernas dan datang dari pelbagai sudut. Mereka juga boleh menghuraikan sesuatu perkara itu dengan panjang lebar namun logik dan boleh diterima akal.

Orang Gagal - Mereka Tak Punya Hala Tuju Kehidupan
Mereka ini hanya akan mengikut arus kehidupan tanpa hala tuju dan tujuan. Mereka tak mahu patuh dan mengikut arahan. Kalau kita ambil contoh lalang tu, kalau angin bertiup ke kiri mereka tak ikut ke kiri tapi ikut suka mereka sahaja untuk samaada untuk ke kiri, ke kanan, ke selatan, ke utara, ke timur mahupun ke barat. Mereka ikut kepala mereka sendiri. Mereka tak punya matlamat dan cita-cita jangkamasa pendek mahupun jangkamasa panjang yang jelas.
Orang Biasa - Mereka Pelengkap Misi Dan Visi Orang Lain
Golongan ini pula hanya mengikut arahan dan selalunya menjadi kakitangan sokongan melengkap misi dan visi yang  telah ditetapkan orang luar biasa. Mereka pengikut resmi lalang, kalau angin bertiup ke kiri maka ke kirilah mereka. Kalau ke kanan, ke kananlah mereka.
Orang Luar Biasa - Mereka Punya Visi Dan Misi
Orang luar biasa adalah orang yang punya misi dan visi dalam kehidupan. Mereka tahu objektif dan matlamat jangkamasa panjang mereka dengan jelas walaupun orang lain tak faham apa yang sedang mereka lakukan. Mereka juga fokus untuk mencapai matlamat tersebut. Kalau ikut resmi lalang mereka tak ikut haluan angin tapi akan bergerak mengikut keperluan dan matlamat yang ingin mereka capai.

Orang Gagal - Bodoh
Mereka ini bodoh lagi jahil. Mereka tak tahu aturan, undang-undang dan hukum hakam. Dahlah tak tahu tapi tak nak belajar. Mereka juga lebih suka melanggar undang-undang dan hukum-hakam ini.
Orang Biasa – Pandai
Ramai juga di kalangan orang biasa ini merupakan mereka yang pandai dari segi akademiknya. Namun kepandaian tidak menjadikan mereka luar biasa dan cemerlang. Bill Gates pengasas Microsoft, malah Mark Zuckerberg pengasas Facebook tidak menghabiskan pelajaran akademik mereka tapi mereka menggajikan orang-orang yang pandai ini untuk bekerja bagi menyempurnakan misi dan visi mereka.
Orang Luar Biasa Bijaksana
Orang luar biasa pula merupakan orang yang bijaksana atau “wise” atau “street wise”dalam Bahasa Inggeris. Biarpun mereka tak pandai tapi mereka bijak mencari peluang. Mereka punya visi dan misi mereka sendiri sepertimana Jack Ma pengasas Ali Baba yang bernilai billion dolar Amerika itu dahulunya hanya merupakan seorang Guru Bahasa Inggeris. Kebijaksanaan menjadikan anda seorang yang luar biasa.

Orang Gagal - Tiada Hubungan Dengan Allah
Mereka dalam kategori ini kalau adapun hubungan dengan Allah namun mereka tak punya keyakinan akan kewujudan Allah Taala. Mereka sering menyalahkan Allah Taala, ibu bapa, keluarga mahupun orang lain atas kegagalan diri mereka sendiri.  
Orang Biasa - Ada Hubungan Dengan Allah
Golongan ini pula punya hubungan biasa dengan Allah. Kekadang ingat kekadang tak ingat, kekadang tak ingat. Kebergantungan lebih kepada diri sendiri dan bila tertekan barulah memohon bantuan kepada Allah Taala.
Orang Luar Biasa - Sentiasa Berhubung Dengan Allah
Mereka ini bergantung penuh kepada Allah Taala. Mereka tahu yang semuanya datang dari Allah. Setelah berusaha sedaya upaya mereka berdoa dan bertawakkal meletakkan ketentuan di tangan Allah Taala. Mereka merupakan orang yang bertakwa dan sentiasa ingat kepada Allah dalam susah mahupun senang.

KESIMPULAN

Begitulah antara ciri-ciri yang membezakan antara 3 kategori manusia ini. Seorang bapa yang luar biasa pasti ingin melihat anak-anaknya menjadi luar biasa juga jadi di sini terjadi perselisihan kerana perbezaan ini. Dia juga pasti dapat melihat samaada anaknya itu punya ciri yang gagal atau ciri biasa-biasa sahaja. Sebaliknya adakalanya bapa yang gagal dikurniakan Allah dengan anak yang luar biasa. Itulah hakikatnya.

Sebenarnya ada banyak lagi ciri-ciri yang lain tetapi pada saya apa yang telah dihuraikan mungkin boleh memberikan anda satu perspektif dan kefahaman yang baru mengenai kehidupan. Dalam hal ini andai anda berada dalam kategori mereka yang gagal tukarlah perpektif pandangan anda. Berusahalah untuk berubah menjadi orang biasa yang normal dengan nilai yang prinsip pegangan yang biasa dipegang oleh orang kebanyakan dan seterusnya andai anda orang biasa-biasa tingkatkanlah diri untuk menjadi orang yang luarbiasa.

Bila anda bertemu dengan orang luar biasa perhatikan tingkah laku dan perbuatan mereka, ambil iktibar dan teladan dari mereka malah kalau boleh berkawanlah dengan mereka dan tanya mereka tentang rahsia kejayaan mereka. Saya pasti mereka yang luar biasa ini akan sudi membantu dan menunjukkan jalan.

Tiada apa yang berubah kalau kita kekal dengan sikap dan sifat yang sama. Pandangan dan tindakan yang tidak berubah sejak dahulu lagi. TINDAKAN yang sama akan hanya membawa kepada HASIL  yang sama.


Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.

No comments:

Post a Comment