Sebenarnya antara semua makhluk dan kejadian yang ada di mukabumi ini, makhluk bernama manusia adalah makhluk yang paling mulia kerana kita dikurniakan dengan akal fikiran. Bagitupun kemuliaan itu hanya datang dengan keimanan kita kepada Allah Taala.
Tanpa akal fikiran manusia akan dikenali sebagai makhluk yang sama pangkatnya binatang yang mengikut naluri yang hanya tahu makan, minum, tidur, mencari tempat berlindung, seks dan sebagainya. Oleh yang demikian, kedudukan makhluk manusia ini berada dalam darjat yang tertinggi kalau dibandingkan dengan makhluk dan kejadian yang lainnya. Makhluk manusia ini pula terdiri dari lelaki dan perempuan dan di sini juga jelas kelihatan yang penciptaan makhluk lelaki lebih kuat kalau dibandingkan dengan makhluk perempuan. Manusia dijadikan sebagai pemimpin atau khalifah di mukabumi ini.
Masalahnya kita meletakkan makhluk dan kejadian lain lebih tinggi dari kita. Mungkin inilah yang menyebabkan ada makhluk manusia yang menjadi hamba kepada duit, kereta, arak, judi, gajet dan sebagainya.
Pengisian ini sebenarnya sudah cukup untuk memberikan kita satu perspektif baru yang mana membolehkan kita berhenti menghisap rokok mahupun bergantung kepada makhluk dan kejadian yang lainnya.
Maka amat perlu untuk kita meletakkan makhluk dan kejadian ini di tempatnya masing-masing. Ini kerana kalau kita lihat antara sebab permasalahan yang berlaku ialah bila kita meletakkan kedudukan makhluk dan kejadian ini di tempat yang salah. Yang atas berada di bawah dan yang sepatutnya berada dibawah kita letakkan di atas.
Sebagai lelaki yang mempunyai kedudukan makhluk tinggi dan mulia maka kenapakah kita perlu membiarkan diri menjadi hamba kepada isteri mahupun kekasih? Kenapa pula isteri yang menguasai dan mendominasi kehidupan kita? Bukankah itu sudah tebalik dan lambat lan akan membawa kepada permasalahan dan akhirnya penceraian. Seterusnya kenapa kita biarkan diri menjadi hamba duit, rokok, gajet, motor, kereta, dadah, arak dan sebagainya? Dalam ertikata lain makhluk dan kejadian lain berada di atas kepala kita dan apa yang pasti ia akan lambat laun membawa masalah.
Cuba perhatikan gambarajah di bawah ini :
Di sini kita dapat lihat kedudukan manusia sebagai makhluk yang paling mulia di mukabumi ini. Makhluk manusia yang mempunyai darjat tertinggi dan paling mulia adalah Nabi Muhammad S.A.W. Kemudiannya Ibu letaknya di atas bapa kepada anak-anak namun suami letaknya di atas kalau dibandingkan dengan isteri, begitu juga lelaki letaknya di atas kalau dibandingkan dengan perempuan menurut perspektif Islam. Dalam Islam juga ibu 3 kali lebih kuat dari bapanya kerana ibulah yang mengandung dan melahirkan kita dengan penuh kesakitan dan kepayahan.
Hiraki kedudukan dimana sepatutnya kita berada ini sebenarnya boleh menjelaskan pelbagai persoalan.
Suami isteri yang lama berkahhwin dan lambat dikurniakan anak akan menjaga anaknya bagai menatang minyak yang penuh hinggakan semua permintaan anak dipenuhi tanpa soal. Kononnya itulah cara penjagaan anak yang terbaik. Begitu taksub kepada anak hinggakan hati, jasmani dan rohani hanya ingat pada anak tersebut. Dari bangun pagi hingga tidur kembali mata tak pernah lekang dari memerhatikan si anak setiap ketika. Meletakkan gambar anak yang membesar dalam medai sosial sedang melakukan itu ini menjadi satu kewajipan. Tidakkah mereka mengambil iktibar akan kisah Nabi Ibrahim AS yang didenda kerana fokusnya yang lari dari Allah kepada anaknya bila baginda dikurniakan anak setelah lebih 70 tahun berdoa? Bukankah anak itu kurniaan Allah dan bukankah ingatan kepada Allahlah yang tak sepatutnya lekang dari jasmani, rohani dan akal kita sebagai manusia makhluk ciptaanNya?
Bukankah ini jelas yang mereka yang taksub kepada makhluk dan kejadian yang setaraf dengan dirinya ataupun meletakkan kedudukan makhluk dan kejadian itu di tempat yang salah bakal mengundang permasalahan. Isteri yang lebih berkuasa daripada suami, suami yang curang dan bermain kayu tiga dengan makhluk perempuan yang lainnya, orang yang bergantung pada kejadian dadah dan arak, orang yang taksub kepada harta dan duit dan banyak lagi. Semuanya ini sebenarnya mengundang permasalahan.
Mungkin juga inilah sebabnya darjat manusia ini boleh berada dalam tahap yang tertinggi dan pada masa yang lain boleh juga berada dalam tahap yang paling rendah hingga ke tahap binatang mahupun ke tahap yang lebih teruk lagi. Menjadi perogol, pembunuh, pencuri, penagih, penyumbang mahram dan sebagainya. Menurut perspektif Islam kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketakwaannya kepada Allah. Oleh yang demikian itu untuk meningkatkan darjat sebagai manusia maka hendaklah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Taala.
Apa kata kita lihat dari sudut yang lain pula tentang kemuliaan manusia sebagai makhluk. Hanya makhluk manusia yang dikurniakan dengan akal fikiran dan dengan akal fikiran ini manusia boleh melakukan pelbagai perkara dan boleh mencipta pelbagai benda. Kalau 40 tahun dahulu hanya terdapat 500 barangan di pasaraya sekarang ia telah melebihi 50,000 jumlahnya. Malangnya makhluk dan kejadian lain selain manusia langsung tak boleh berbuat demikian tetapi kita manusia menjunjung dan menyanjungnya.
Contohnya menjadi hamba rokok, arak, dadah, gajet dan sebagainya sedangkan semua ini merupakan hasil tangan manusia. Manusia menyanjung, memuja dan menghambakan diri kepada ciptaan tangannya sendiri dan bukan kepada pencipta dirinya! Semua penciptaan ini sebenarnya langsung tak boleh berbuat apa-apa kalau dibandingkan dengan manusia. Seorang lelaki yang menjadikan filem porno sebagai tempat bergantung walhal filem itu merupakan penciptaan yang tugasnya untuk menayangkan gambar lucah di monitor, pun begitu tanpa digerakkan oleh manusia tiada apa yang dapat dilakukan oleh filem tersebut. Ia tak boleh tercipta dengan sendirinya malah ia juga tak dapat bergerak memasukkan diri ke dalam komputer, menayangkan gambar dengan sendirinya dan sebagainya. Bukankah jelas akan kemuliaan manusia makhluk bernama manusia ini.
Seorang remaja begitu ketagih kepada gajet, menonton youtube, melayari internet, bermain games, mendengar muzik, mengemaskini media sosial dan sebagainya berjam-jam lamanya hingga adakalanya tertinggal waktu solat. Bila ibunya memanggil untuk membantu dengan kerja rumah dia buat tak tahu. Gajet di tangan itu lebih penting dan lebih utama baginya dan bukan ibunya. Walhal panggilan ibu itu lebih utama. Kalau gajet itu diambil dari tangannya maka mengamuklah dia. Mereka tak boleh hidup tanpa gajet. Mereka menjadi hamba gajet! Walhal sepatutnya terbalik, sepatutnya gajet itu yang menjadi hamba manusia!
Seorang pemuda yang begitu taksub dengan motornya. Menjadi hamba motor. Setiap hari mengilatkan motor, menambah pelbagai aksesori, menukar cover set, membuka engin, ride sana sini dan sebagainya. Kalau orang puji bangganya semacam, kalau tercalar sedikitpun marahnya bukan kepalang! Kalau hilang kecewanya lebih teruk mengalahkan orang yang putus cinta! Fokusnya kepada ciptaan yang tak boleh buat apa-apa. Kalau tak ditunggang ia akan duduk situ tidak bergerak dan lama kelamaan menjadi buruk dan rosak. Motor tu hamba kita sebenarnya tapi kenapa kita pula yang menjadi hambanya?
Jadi pasti ada masalah yang akan berlaku sekiranya seorang manusia tidak patuh kepada Penciptanya, seorang anak tidak taat kepada kedua ibubapanya, seorang isteri yang tidak menghormati suaminya, seorang adik yang kurang ajar dengan abang atau kakaknya, seorang murid yang tidak mendengar arahan gurunya, seorang pekerja yang menipu majikannya dan sebagainya. Begitu juga pasti ada masalah sekiranya manusia menjadi hamba kepada kekasih, rokok, seks, dadah, judi dan arak, menjadi hamba kepada duit, kereta, motor, games, rancangan TV dan gajet, menjadi hamba shopping, handbag, binatang peliharaan, pokok dan make up, menjadi hamba kepada makhluk dan ciptaan yang rendah kedudukannya dari diri kita sendiri. Mengetahui hakikat ini maka perbetulkanlah kedudukan semua ini agar kehidupan kita menjadi lebih tenang, tersusun dan teratur.
Di akhir kata, kesimpulannya sangat jelas dan nyata yang Allah Tuhan yang Agunglah yang patut berada di tempat yang paling atas dan bukannya mana-mana makhluk dan kejadian. Jadi letakkanlah kedudukan kita dan semua makhluk, kejadian dan ciptaan ini di tempat yang betul. Kalau tidak pasti ia boleh membawa kepada permasalahan. Meletakkan makhluk di tempat Tuhan maka syirik jadinya. Ramai ahli ulama yang berkata “ Iman itu seakan berjalan di atas batas. Kadangkala kita akan tergelincir lantas jatuh namun hendaklah kita kembali naik ke atas”. Dalam ertikata lain andaikata fokus adakalanya terpesong dari Allah Taala dek kerana gangguan makhluk dan kejadian yang lainnya sebaiknyalah kita sedar dan kembalikan tumpuan kepada Allah Taala yang satu.
Kisah kejadian dan fungsi makhluk-makhluk ini akan FY huraikan dalam bab yang akan datang.
Ikhlas,
FY Al Haj
0166667430
Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.
No comments:
Post a Comment