Tuesday, April 24, 2012

Perhatikan Pengisian Anak-Anak Anda




Media Massa walaupun membawa input baru ke dalam rumah dan penghuninya namun input itu sebenarnya tidak bertapis berdasarkan kesesuaian umur. Kanak-kanak yang menonton cerita orang dewasa bakal mendapat input dewasa namun demikian kemungkinan besar dia tidak dapat mengendalikan input tersebut kerana pengetahuan terdahulu atau prior knowledge yang ada sebelum ini terlalu sedikit dan kecil.

Kebanyakan paparan yang ada dalam media massa itu berbentuk sekular dan dipelopori Barat. Pendidikan sekular secara tak langsung ini menjadikan kita mempunyai pemikiran yang sekular juga sifatnya. Bagi mereka yang punya pengisian diri yang mencukupi maka mereka akan dapat menapis, menangkis serta membuat analisis yang baik tentang input mana yang boleh diambil dan mana yang tidak.

Malangnya bagi kanak-kanak mereka belum cukup bersedia jadi mereka mengambil dan mempercayainya. Input hiburan contohnya menerbitkan minat berhibur dalam hati mereka. Mereka kemudiannya berminat untuk menjadi penari, penyanyi dan pelakon yang kononya menjanjikan kemashyuran dan kekayaan sedangkan hakikatnya di negara ini jumlah yang berjaya boleh dibilang dengan jari. Kebanyakannya sebenarnya hanya cukup makan.

Input kemewahan pula menyebabkan anak-anak yang menontonnya menjadi materialistik. Ingin punya handphone canggih, alat teknologi terkini, kereta mewah, rumah besar dan sebagainya. Ini semua lambat laun menetap di hati dan keinginan untuk punya semua ini semakin memuncak dari hari sehari hingga ada yang sanggup mencuri, pecah amanah dan makan rasuah demi untuk mendapatkannya.

Input hantu dan seram pula melemahkan semangat anak-anak ini lantas menjadikan mereka penakut. Penakut untuk keluar malam dan sebagainya. Mungkin inilah antara dakyah yang disampaikan agar rakyat Malaysia menjadi rakyat yang kecil hatinya. Ini belum lagi bercerita tentang perihal aspek tahyul, khurafat dan syirik.

Input maksiat, bercumbuan, berpakaian terdedah, pergaulan bebas, input keganasan, bunuh, input drama dan permainan emosi dan sebagainya sebenarnya secara tak langsung membentuk diri mereka dengan lebih ke arah yang tak baik daripada yang baik. Contohnya secara tak langsung menyebabkan gejala sosial seperti maksiat, mencabul, merogol, keganasan, gangsterism, berjudi, merokok, minum arak, ponteng sekolah, homoseksual, punk, skinhead, melepak di cybercafe, mencuri serta  perbuatan sumbang yang lainnya.

Semua ini berlaku kerana kebanyakan anak-anak tidak punya sistem untuk menangkis dan menapis input yang masuk ke dalam mereka. Mereka tak dapat menilai yang mana satu yang benar dan mana satu yang salah. Semuanya sama bagi mereka. Dalam hal ini ibubapa yang prihatin akan dapat melihat kecenderungan seseorang anak itu dan memberikannya panduan serta tunjuk ajar akan yang mana satu yang betul dan yang mana satu yang tak betul. Ibubapa seharusnya menjadi mata kepala bagi pihak anak-anak ini bagi menapis dan menangkis pengisian yang tak sepatutnya ada dalam diri seorang kanak-kanak. Itupun kalau ibubapanya mempunyai ilmu untuk berbuat demikian.

Tak perlu kita salahkan kerajaan dan pihak penapis filem dan sebagainya kerana pada saya semuanya bermula dari dalam diri kita sendiri. Sekali lagi sebagai ibubapa kita seharusnya menjadi penapis dan penangkis kepada pengisian anak-anak agar mereka terpelihara dari pengisian yang bakal merosakkan diri mereka pabila dewasa kelak.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

No comments:

Post a Comment