Monday, April 9, 2012

Jangan Berputus Asa



Kebelakangan ini entah kenapa saya rasakan semakin lama tugas dan tanggungjawab saya sebagai penulis ini menjadi semakin berat. Amanah dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu saya ini untuk menyampaikan ilmu pengetahuan serta maklumat yang terasa begitu sukar namun inilah yang perlu saya lakukan seikhlas mungkin demi untuk pembangunan ummah.

Dalam profesion saya sebagai Remiser mahupun sebagai seorang penulis atau kaunselor, saya bertemu dengan ramai orang dan dalam pertemuan demi pertemuan ini kebanyakan mereka yang saya temui menjalani kehidupan secara spontan tanpa pemahaman yang jitu mengenai kehidupan ini lebih-lebih lagi bilamana mereka itu merupakan seorang yang muda.

Entahlah saya pun tak tahu dimana silapnya, mungkin sistem pendidikan negara ini masih mempunyai banyak kelompongan yang perlu diperbaiki sebelum ia dapat mendidik rakyatnya secara menyeluruh bila keluar dari institusi-institusi pengajian ini, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang gadis yang mempunyai Masters yang merupakan graduan di luar negara dan bakal mendirikan rumahtangga. Dia mendapat wang hantaran sebanyak RM15,000.00 dan mahu menjalankan upacara perkahwinannya di Dewan Serbaguna dengan menggunakan khidmat katering. Dia menyangkakan yang RM15,000.00 itu mencukupi untuk tujuan tersebut walhal di zaman ini, di kala ini dengan keadaan harga barang yang melonjak naik saya tahu dan yakin ia tidak mencukupi melainkan dia mahu berkahwin di sebuah kampung di Kelantan yang mana semuanya dijalankan dengan ala kadar sahaja.

Apa yang ingin saya katakan ialah, mungkin gadis itu seorang yang pandai dari segi akademik namun dia kurang bijak dari segi kehidupan.

Dalam artikel kali ini, sekali lagi saya ingin berkongsi mengenai dugaan kehidupan. Ini kerana saya sering bertemu dengan mereka yang tertekan dan menjadi tak keruan kerana dugaan-dugaan kehidupan yang mereka hadapi.

Begini kisahnya...

Katalah dalam dunia ini Allah Taala menciptakan 1 juta dugaan kepada makhluk bernama manusia dan setiap manusia yang dilahirkan di muka bumi ini akan diduga dalam rangkuman dugaan yang ada ini.

Dugaan ini datang dalam pelbagai bentuk contohnya dugaan perhubungan, kecacatan fizikal dan mental, kematian, kewangan, kerjaya, kenderaan, kediaman, perniagaan atau apa sahaja. Yang pastinya ia takkan keluar dari rangkuman 1 juta dugaan yang telah diperuntukkan kepada manusia ini. Maksud saya disini tak ada manusia yang akan diduga dengan dugaan terputus kepala dari tubuhnya namun masih boleh hidup dan meneruskan kehidupan mahupun belum ada manusia yang diduga boleh hidup dalam air atau angkasa lepas tanpa udara dan sebagainya. Ia tidak termasuk dalam dugaan yang satu juta yang saya maksudkan tadi. Paling kuatpun manusia membunuh diri bila tak tahan diduga dengan dugaan-dugaan yang dalam rangkuman yang saya katakan tadi.

Kadang-kadang ada yang bertanya kepada saya kenapa orang yang membunuh diri kerana tak tahan diduga walhal Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah yang maksudnya lebih kurang “Tak akan diduga manusia dengan dugaan yang tak sanggup ditanggunginya...”

Pada saya mungkin maksud dalam ayat ini ialah dugaan atas manusia itu pasti akan dapat ditanggunginya. Maksud saya begini, kalau dugaan orang yang membunuh diri itu diberikan kepada seorang yang lain maka dia tak mengambil tindakan membunuh diri tetapi dia boleh bersabar dan menghadapinya dengan tenang. Ada orang membunuh diri kerana berpisah dengan kekasih, sedangkan ramai yang TIDAK membunuh diri hanya kerana berpisah dengan kekasih. Ada orang membunuh diri hanya kerana gagal dalam peperiksaan sedangkan ramai yang TIDAK membunuh diri hanya kerana gagal dalam peperiksaan malah mereka gagal dalam semua peperiksaan sekalipun.

Dugaan yang diperuntukkan kepada manusia itu ialah perpisahan dan gagal dalam peperiksaan, adakah ia begitu berat hingga tak sanggup ditanggungi manusia? Pastinya ia boleh ditanggungi kerana RAMAI yang telah menanggungnya tanpa masalah. Pada saya semua dugaan dalam rangkuman 1 juta dugaan yang diperuntukkan kepada manusia itu pastinya BUKANLAH dugaan yang tak akan dapat ditanggunginya.

Mari kita bahagikan dugaan itu kepada kategori yang berikut ikut kata P. Ramlee dalam cerita Nujum Pak Belalang ;

1.   Dugaan Banyak-Banyak

Contohnya dugaan masalah dengan manusia kawan, suami, isteri, keluarga, mertua dan sebagainya. Ini kerana manusia tak dapat lari dari dugaan bersifat perhubungan ini.

2.   Dugaan Sedikit-Sedikit

Contohnya dugaan penyakit demam, selsema, batuk, sakit mata, sakit telinga dan sebagainya.

3.   Dugaan Kadang-Kadang

Contohnya dugaan penyakit kronik, sakit jantung, penyakit hati, leukimia, buah pinggang dan sebagainya.

4.   Dugaan Jarang-Jarang
  
Contohnya dugaan perpisahan kerana kematian orang yang tersayang. Ini kerana ia kadang-kadang berlaku untuk kita hadapi.

Dalam hal ini kita akan diduga dengan set dugaan yang tertentu, ada yang diduga dengan masalah kewangan, kemudian masalah dengan suami, masalah di tempat kerja, masalah anak yang sakit dan sebagainya. Selepas dapat menyelesaikan satu fasa maka kita akan diduga pula dengan fasa yang lain pula. Begitulah seterusnya dalam kehidupan ini. Yang pastinya tiada sesiapapun akan dapat melepasinya.

Kalau dibuat perbandingan, anda yang diduga dengan sakit gigi adakah ia lebih teruk daripada mereka yanng terkena serangan jantung hingga menyebabkan hilang keupayaan separuh badan? Kalau anda diduga dengan hutang sebanyak RM2,000.00 adakah ia lebih teruk daripada mereka yang diduga dengan hutang sebanyak RM2 juta? Kalau anda diduga dengan kemalangan hingga menyebabkan kereta anda punah adakah ia lebih teruk dari mereka yang kemalangan hingga menyebabkan mereka hilang daya upaya?

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesungguhnya membandingkan dengan orang yang lebih teruk diduga adalah lebih wajar...”

Kesimpulannya, janganlah berputus asa pabila diduga. Bersabarlah dan berusahalah untuk mencari jalan keluar. Janganlah mengambil keputusan untuk mengambil nyawa sendiri. Ini kerana ada orang yang diduga jauh lebih teruk daripada anda namun dia dapat menanganinya dengan tenang dan selamba. Berusahalah InsyaAllah lambat laun anda akan dapat mengatasinya. 

Ini kerana Allah berfirman dalam Al Quran yang bermaksud ;

“Bertakwalah, kerana kelak akan ada jalan keluar dari tempat yang tidak diduga, dan bertawakkallah kelak Dia akan mencukupkan.”

Acapkali saya katakan dugaan fungsinya adalah untuk menguji keimanan manusia, samaada dia akan terus meningkatkan keimanan atau dia akan kufur. Masalahnya ramai manusia yang diduga tetapi masih lagi terus-terusan melalui jalan yang serong, salah dan dalam kegelapan tidak mahu beriman dan masuk ke dalam jalan yang lurus lagi terang. Maka dugaan itu terus-terusan datang dalam kehidupannya tanpa henti.

Saranan saya kembalilah. Kembalilah ke jalan Allah Taala. Berusahalah untuk meneguhkan keimanan dan tingkatkanlah amalan kepada Allah Taala. InsyaAllah satu hari nanti Allah akan memberikan hidayahNya dan membawa kita ke dalam satu dimensi baru yang berbeza, dimensi yang penuh dengan ketenteraman, kebahagiaan dan ketenangan. Dimensi yang begitu diimpikan oleh semua manusia. Dimensi keakhiratan.

Salam perjuangan.

Sekian buat kali ini. Faizal Yusup mengundur diri.


www.faizalyusup.blogspot.com

No comments:

Post a Comment