Dalam artikel sebelum ini, pembentukan diri itu berlaku dari nilai yang kosong. Seumpama budak kecil yang kali pertama pergi ke panggung wayang contohnya. Kali pertama didedahkan. Dalam artikel kali ini saya ingin mengajak pembaca yang budiman sekelian memikirkan tentang perbezaan nilai yang ada dan bagaimana nilai-nilai ini dipilih secara sedar mahupun tidak lantas menjadi prinsip pegangan diri.
Dalam membicarakan topik ini nilai adalah sesuatu yang belum menjadi prinsip dalam diri. Sesuatu nilai yang diterapkan akan menjadi prinsip pegangan seseorang itu. Nilai ini akan melalui satu proses pengulangan dan pengukuhan sebelum ia menjadi prinsip diri.
Dalam membicarakan perihal ini, nilai adalah sesuatu yang berubah-ubah dan prinsip pula adalah sesuatu yang lebih tetap. Namun begitu, ada juga nilai yang selari dengan prinsip dan ia tidak boleh diubah walau bagaimana keadaan sekalipun. Contohnya bercakap benar, jujur serta ikhlas adalah elemen nilai yang tetap pada semua orang dan merupakan nilai masyarakat secara umumnya. Baik bagi masyarakat Barat mahupun Islam.
Pada masa yang sama, ada juga nilai yang berubah-ubah jika dibandingkan dengan prinsip. Contohnya prinsip menutup aurat. Agama Islam mengatakan bahawa lelaki wajib menutup aurat dan pusat ke lutut, namun nilainya berbeza antara individu. Di Arab dari segi nilainya, mereka memakai jubah. Di Malaysia pula, mereka memakai baju dan seluar panjang. Nilai penutupan aurat begini sebenarnya tidak menggambarkan keimanan seseorang itu. Orang yang beriman tidak semestinya berjubah, berkopiah dan berjanggut panjang kerana walaupun memakai seluar panjang dan t-shirt, dia masih berada dalam prinsip penutupan aurat yang disarankan oleh Islam. Barat pula tidak mempunyai prinsip menutup aurat kerana nilai pemakaian pakaian mereka terdiri daripada mereka yang berbogel hinggalah kepada memakai pakaian yang bertutup. Di Afrika pula, ada golongan yang hanya menutup kemaluan sebagai nilai pemakaian mereka.
Bagi memudahkan kefahaman biar saya bagi contoh nilai menutup aurat seorang wanita Islam di negara ini ;
- Terdedah
- Berbaju kurung tidak bertudung
- Berseluar Jeans, T-Shirt lengan pendek bertudung
- Berbaju kurung / berjubah bertudung
- Berpurdah
Nilai yang manakah yang telah dapat disebatikan dan menjadi prinsip diri anda? Saya pernah bertemu dengan seorang perempuan melayu yang berambut karat, mengenakan kanta pelekap berwarna biru, berpakaian seksi yang akhirnya bertukar memakai jubah dan bertudung labuh. Bergelar Hajjah. Nilai yang melalui proses penerapan akan menjadi prinsip diri.
Pada masa yang sama saya pernah juga bertemu dengan orang yang prinsip dirinya tidak percaya kepada institusi perkahwinan, percaya kepada hubungan sejenis dan seks bebas, tidak mahukan anak, tidak makan daging dan sebagainya. Nilai yang telah diterapkan ke dalam diri menjadi prinsip kehidupan.
Nilai asas seperti menepati dan menghargai masa sudah menjadi lumrah bagi tamadun Jepun dan Barat. Contohnya bas yang ditunggu akan sampai tepat pada masa yang telah dijadualkan. Nilai produktiviti masyarakat mereka juga berada di tahap yang tinggi kalau dibandingkan dengan kita. Mari kita buat perbandingan nilai kegigihan antara kita dengan mereka.
- Nilai kegigihan Orang Jepun ialah bekerja 16 jam sehari.
- Nilai kegigihan Orang Barat ialah aktiviti menghasilkan produktiviti.
- Nilai kegigihan Orang Melayu ialah bekerja dan melepak.
- Nilai kegigihan Orang Islam ialah hidup dalam rangkuman ibadah.
- Nilai kegigihan Orang Afrika ialah lebih melepak dari bekerja.
Sebenarnya kita tak banyak bezanya dari mereka yang mundur. Ungkapan prasarana kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga mungkin menjelaskan huraian ini dengan lebih tepat. Kemajuan sesebuah tamadun bukan hanya datang dalam bentuk kecanggihan prasarananya tetapi dengan kemajuan rakyatnya dalam bentuk pembangunan insan. Negara maju telahpun mengetahui akan hakikat ini jadi mereka begitu menekankan kepada pembangunan insan. Mereka sanggup membayar gaji yang mahal bagi mendapatkan khidmat para cendiakawan, saintis, jurutera dan mereka yang ahli dalam bidangnya demi membangunkan insan.
Memahami huraian ini, saya rasa adalah lebih baik kita mencari prinsip yang jitu untuk diterapkan ke dalam diri dan pada masa yang sama memilih nilai perlaksanaan yang terbaik yang mungkin boleh membawa kejayaan kepada diri sendiri. Contohnya, prinsip kegigihan dan menghargai masa sepertimana yang dilakukan oleh bangsa yang maju bakal diganjari dengan ganjaran kewangan. Prinsip menutup aurat dengan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. pula bakal diganjari dengan pahala dari ALLAH S.W.T Begitu juga halnya sekiranya mengikut prinsip hukum ALLAH S.W.T. Ganjaran yang sama akan tetap diterima.
Sesuatu prinsip yang telah dikenalpasti untuk diterapkan itu harus melalui proses nilai perlaksanaan yang berterusan dengan melalui proses pengulangan dan pengukuhan sebelum ia sebati dalam diri. Bukan mudah untuk menerapkan prinsip bercakap benar, pemaaf, rendah hati, jujur, pemurah, ikhlas, menghargai masa dan sebagainya dalam kehidupan seharian.
Nilai pemaaf ;
- Semua kesalahan dimaafkan
- Hanya boleh maafkan kesalahan tertentu
- Orang yang bersalah mesti meminta maaf
- Orang yang bersalah mesti dibalas dendam
- Tak mahu memaafkan seumur hidup.
Pemaaf / memaafkan selepas sehari / seminggu / sebulan / setahun / seumur hidup?
Anda masih ada orang yang belum dimaafkan? Berapa ramai? Berapa lama? Ini menunjukkan yang anda sebenarnya bukan seorang yang pemaaf tetapi sebenarnya seorang PENDENDAM! Maafkanlah sahaja kerana mereka tak tahu, Nabi SAW ampunkan umat dan ALLAH S.W.T Maha Pengampun. Apa hak kita untuk tidak memaafkan? Begini jugalah perihalnya dengan nilai sikap-sikap yang lainnya.
Nilai membawa makna values dalam bahasa Inggeris yang membawa maksud sesuatu yang ada harga. Jadi ia bolehlah dilihat dari sudut pelaburan. Nilai yang manakah yang ingin kita terapkan dalam diri dan bakal menguntungkan diri kita di masa hadapan?
Kepelbagaian nilai pemakaian, contohnya dari yang terbuka hinggalah kepada yang tertutup. Apabila dibuat pertimbangan, yang terbuka boleh mengundang bahaya kalau dibandingkan dengan yang tertutup. Kes rogol contohnya sering dikaitkan dengan cara pemakaian terdedah para wanita. Suka membuang masa pula nilainya jauh lebih rendah kalau dibandingkan dengan nilai seseorang yang produktif. Begitu juga nilai orang yang malas kalau dibandingkan dengan orang yang rajin dan gigih.
Mengetahui hakikat ini, pilihlah nilai yang paling tinggi harganya untuk dijadikan prinsip diri. Orang yang terbuka akan lebih mudah menerima ilmu dan menyelesaikan masalah kalau dibandingkan dengan orang yang tertutup dan berfikiran sempit. Orang yang bersemangat akan terus berusaha dengan tabah tanpa jemu untuk mencapai kejayaan sedangkan orang yang lemah semangatnya akan berputus asa di separuh jalan.
Apapun semua ini terpulang kepada anda. Tepuk dada tanya selera.
Kaedah dan pendekatan akan bagaimana untuk menerapkannya ke dalam diri telahpun saya huraikan dalam artikel yang lalu iaitu dengan melalui proses 4P.
Oh ya! Saya ingin menambah satu lagi nilai di ruangan ini;
Nilai bersolat ;
- Tak solat
- Solat Jumaat sahaja
- Solat antara 1 hingga 4 waktu sahaja
- Solat 5 waktu bersendirian lengah-lengah
- Solat 5 waktu berjemaah awal waktu
Kita yang mana satu ye?
FY
Nak panggil FY bagi sesi motivasi?
Hubungi 0126540130
No comments:
Post a Comment