Masalah Budaya Orang Melayu
Nama pun melayu, itu yang sentiasa layu agaknya. Sepanjang kehidupan ini di negara ini kalau dibuat perbandingan dalam banyak segi lebih-lebih lagi dengan bangsa Cina maka kita akan dapat melihat perbezaan yang ketara. Meskipun tampuk pemerintahan dan politik di negara ini diterajui oleh orang melayu tetapi hakikatnya dari segi ekonomi, perniagaan, kewangan, pendidikan dan sebagainya mereka yang menguasai. Bolehlah dikatakan yang ekonomi mereka 3 kali lebih kukuh dari ekonomi kaum Bumiputera di negara ini.
Mereka menguasai rantaian perniagaan dari yang kecil hingga yang ke besar, pegangan saham, hartanah dan sebagainya semuanya dikuasai mereka. Mereka berniaga dalam pasaraya-pasaraya yang besar dan mewah sedangkan orang kita terpinggir berniaga di malam hari di gerai-gerai sementara yang terletak di uptown-uptown atau pasar-pasar malam di seluruh negara. Mereka tinggal di rumah-rumah besar dengan kenderaan mewah di daerah utama di tengah bandar tetapi orang kita pula tinggal di pangsapuri-pangsapuri kos rendah jauh di pinggir bandaraya.
Bila menjalankan perniagaan, bila kita memilih kontraktor melayu, maka kerja akan disiapkan dalam masa yang lambat, dengan kos yang lebih tinggi dan dengan kualiti yang lebih rendah kalau dibandingkan dengan bangsa Cina. Mana taknya, kerja yang dijalankan sedikit dah nak rehat, nak minum nak mc, nak cuti dan sebagainya. Pelbagai alasan yang dikeluarkan untuk tidak menyiapkan kerja tersebut. Bagi si Cina pula mereka faham yang masa itu emas. Mereka menyiapkan kerja dengan cepat dan tangkas supaya mereka punya masa untuk menjalankan kontrak kerja yang lain pula. Pengalaman menjadikan kualiti kerja mereka lebih baik, berkualiti dan terkini tidak seperti peniaga melayu yang statik dan tidak melakukan perubahan. Kos juga meningkat dengan kelambatan dalam menyiapkan kerja yang sepatutnya.
Mungkin ada yang marah dengan kenyataan FY ini tapi itulah hakikat yang dapat kita lihat dewasa ini. Pun begitu tidak dinafikan ada segelintir melayu yang sedar akan keadaan ini dan melakukan perubahan. Mereka inilah golongan yang berbeza, golongan yang berjaya.
Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini?
Mungkin juga sistem “segregate and rule” atau asing dan perintah yang dipelopori penjajah dahulu telah membentuk generasi melayu yang kita lihat dewasa ini. Sistem yang mengasingkan kaum Melayu di kampung, kaum Cina di bandar menjalankan perniagaan dan kaum India di ladang-ladang menyebabkan keadaan ini berlaku. Waktu itu boleh dikatakan semua kontrak diberikan kepada kaum Cina, bank dibuka, pelbagai syarikat tumbuh bagai cendawan dan keadaan ini meningkatkan ekonomi mereka secara keseluruhannya. Kaum melayu pula ketinggalan, ketinggalan dari semua segi.
Kita dapat lihat dewasa ini tatkala kebanyakan anak muda orang melayu berada dalam sektor penggajian, orang Cina pula berada dalam sektor perniagaan dan kemahiran. Bapa makan gaji, anak belajar cari ijazah makan gaji juga dan begitulah seterusnya tidak seperti bangsa Cina yang menjalankan perniagaan dan anaknya pula meneruskan legasi dan mengembangkan perniagaan menjadi lebih besar dan kukuh.
Mungkin juga budaya orang melayu dengan kata-kata seperti “dah nasib badan...” atau bidalan “kalau rezeki secupak takkan jadi segantang...” mungkin menjadi pegangan kita selama ini menyebabkan kita jadi begitu?
Mungkin juga kita akan berkata kaum mereka berbeza. Mereka tak ada hukum hakam, duit adalah tuhan mereka. Mereka menipu dalam menjalankan perniagaan dan sebagainya, sebab itulah mereka boleh berjaya.
Kita boleh sahaja menuding jari menyalahkan orang lain, kita boleh sahaja mencari seribu alasan untuk menyokong kegagalan diri kita tetapi sedarilah yang mereka juga manusia. Mereka juga seperti kita punya tulang empat kerat, satu kepala, satu otak.
Sebenarnya salahnya terletak kepada diri kita sendiri. Kita yang tak menggunakan sumber yang dikurniakan kepada kita dengan secara yang optium. Kita tidak menggunakan masa dengan betul. Pengisiannya banyak yang merapu dan sia-sia. Kita lebih suka melepak dan membuang masa. Kita tak guna anggota dan pencaindera bekerja dengan gigih dan dengan cara yang berkesan. Kita tidak menggunakan otak untuk meningkatkan ilmu, berfikir akan kaedah-kaedah perniagaan yang boleh membawa kejayaan kepada kita.
Selain itu kebanyakan kita di negara ini merupakan penganut ugama Islam. Prinsip dalam Islam juga boleh membawa kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat. Islam menganjurkan kemajuan dan kejayaan sepertimana yang kita lihat dalam sejarahnya. Ia menggalakkan kita menjadi insan yang rajin bekerja, insan yang membawa manfaat kepada yang ramai, insan yang mengeluarkan zakat dan membantu orang lain dan sebagainya. Dalam pada itu kita ada kuasa doa lagi. Doa adalah senjata orang Islam. Doa yang bersifat ghaib dan kalau kita percaya dengan kekuasaan Allah Taala, maka tiada sebab untuk kita gagal. Kita gagal kerana kita tak mencuba sedaya upaya, kita gagal kerana kita putus asa di tengah jalan.
Jadi dalam hal ini kita sebenarnya tak ada alasan. Kegagalan berpunca dari diri kita sendiri yang nak mudah, pemalas, tidak suka mencari ilmu, dengki dengan rezeki orang lain dan sebagainya. Ubahlah! Kalau orang lain boleh berjaya kenapa pula kita tak boleh berbuat demikian?
Setiap hari kalau kita ketuk pintu yang sama kita akan mendapat hasil yang sama. Apa kata hari ini kita ketuk pintu yang berbeza pula, InsyaAllah FY yakin hasilnya akan berbeza juga.
No comments:
Post a Comment