Friday, August 28, 2009

Pengisian Keimanan

Pada pendapat saya kemungkinan besar kebanyakan pengisian dalam topik-topik yang terdahulu sebelum ini bukanlah pengisian yang boleh meningkatkan iman. Bagi saya ia semua hanyalah terdiri dari maklumat dan ilmu pengetahuan yang boleh dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan ini.

Di dalam kehidupan, setiap hari kita akan bertemu dengan pelbagai pengisian dalam pelbagai bentuk namun bila difikirkan kita akan nampak yang pengisian tersebut juga mempunyai nilai yang tertentu. Sebenarnya pengisian ini juga boleh membawa kepada kebaikan dan pada masa yang sama boleh membawa keburukan dengan kehendak Allah Taala. Dalam dunia hari ini lebih mudah untuk kita bertemu dengan orang yang membawa kita ke arah kesesatan dari bertemu dengan orang yang membawa kita ke arah selamat. Masalahnya cerita-cerita dunia ini lebih seronok didengar, maka ramailah peminat yang bakal berkerumun bila cerita-cerita ini diperdengarkan.

Ini kerana dalam satu-satu pengisian yang kita dengar di dalamnya akan ada beberapa elemen yang terdiri daripada elemen yang baik mahupun tidak. Antara elemen ini ialah lucu, lucah, kontroversi, mengadu dumba, fitnah, maklumat, fakta dan sebagainya tetapi selalunya elemen ilmulah yang paling kurang peratusannya dalam satu-satu pengisian. Ini nyata kerana majlis-majlis ilmu selalu diketepikan tetapi majlis yang bersifat hiburan menjadi tumpuan. Adakala pula kita dapat lihat orang datang beramai-ramai berkumpul mendengar ceramah yang kononnya ceramah ugama tetapi bila diteliti ia lebih kepada ceramah politik, pengisiannya lebih kepada elemen fitnah-memfitnah, laga-melaga, bersyak-wasangka buruk, lucu dan lucah. Kisah pemimpin bodoh, makan rasuah, berkhalwat, salahguna kuasa dan sebagainya begitu jelas kedengaran. Namun mana saksinya? Mana buktinya? Si penceramah ada bersama pemimpin tersebut bersama 4 orang saksi ke bila rasuah itu berlaku? Namun cerita sebeginilah yang begitu menarik dan menyebabkan ramai berkumpul kerana bagi saya setan ada diantaranya.

Selain itu kita juga selalu mendengar orang bercerita tentang perhubungan, masakan, produk berjenama, kisah membeli belah, isu semasa, rancangan TV atau wayang yang baru ditonton, perihal politik, perihal sukan dan sebagainya. Namun yang mana diantara isu ini merupakan kategori maklumat dan mana satu yang berisi ilmu atau yang penting sekali yang manakah diantaranya yang mempunyai pengisian yang boleh meningkatkan iman?

Dalam semua pengisian ini saya berpendapat pengisian yang bersifat keimanan adalah yang terbaik. Apakah pula pengisian keimanan itu? Saya percaya pengisian yang boleh meningkatkan iman adalah pengisian yang berada dalam rangkuman Rukun Iman. Maka dalam sesebuah pengisian sebaiknya kita bercerita atau mendengar pengisian tentang hehebatan Allah, cerita-cerita para Nabi dan Malaikat, cerita-cerita dalam Al Quran, cerita akhirat dan susunan takdir Allah Taala dalam rangkuman Qada’ dan Kadar. Pengisian sebegini terletak dalam rangkuman dakwah iaitu Fardhu Kifayah. Fardhu di sini bermakna ia terletak dalam rangkuman hukum wajib. Ini bermakna masa yang dikurniakan Allah itu adalah lebih baik kita gunakan dengan pengisian yang bersifat Fardhu Kifayah daripada kita menggunakannya dengan bercerita tentang pengisian-pengisian yang makruh dan haram sifatnya.

Pengisian hati adalah pengisian pertama yang perlu kita lakukan dalam hal dakwah sepertimana yang dijalankan Rasullullah selama 13 tahun di awal kerasulan baginda. Ini kerana ia kemudiannya dengan izin Allah akan meningkatkan iman dan seterusnya menggerakkan jasmani untuk melakukan ibadah yang berada dalam rangkuman Rukun Islam pula.

Sebagai manusia yang hidup dalam keadaan yang tak sedar akan apakah pengisian yang masuk ke dalam hati maka secara langsung elemen-elemen yang masuk juga menyebabkan kekotoran hati tanpa kita sedari. Oleh yang demikian maka usaha untuk membersihkannya perlu dijalankan.

Mereka yang terbuka hatinya dan dapat menyerap pengisian keimanan ke dalam hatinya itu, InsyaAllah akan menjadi insan yang berakhlak mulia dan berguna kepada masyarakatnya namun sebaliknya mereka yang tertutup hatinya dan kecenderungan pengisiannya ke arah keduniaan akan mudah terjerumus ke lembah hina dan secara tak langsung akan menyumbang kepada pertambahan gejala sosial yang semakin hari semakin meruncing dalam dunia hari ini. Kes zina, sumbang mahram, merogol, hubungan sejenis, gaduh, kaki pukul, samseng, punk, skin head, pelacuran, penipuan, pencuraian dan rompakan, pencolekan, dadah, arak dan judi semakin lama semakin berleluasa.

Bagi mereka yang kosong hatinya pula seperti lalang yang mudah terpengaruh dengan desakan kawan-kawan dan sebagainya. Ini kerana mereka tidak punya pendirian yang tetap dan tegas dalam menangani apa juga yang mendatang kepada mereka.

Oleh itu isilah diri dengan pengisian keimanan yang sebanyaknya samaada dengan menghadiri ceramah-ceramah ugama, mendengar radio, DVD, menontonnya di kaca TV, mencari bahan bacaan mengenainya dan sebagainya dengan harapan ia akan menjadikan diri anda seorang yang berpegang teguh pada tali Allah dan InsyaAllah sentiasa berada dalam lindungan Allah hendakNya.

Petikan dari Buku Aku Yang Tenang yang sedang saya tulis...